Back
Next
title
Banner

 

Semua projek dan aktiviti yang dikendalikan oleh Yayasan dalam bidang pendidikan menumpukan kepada usaha bagi mempertingkatkan dan memperkembangkan bidang pendidikan melalui penyediaan bantuan pendidikan dan penyelidikan serta menyediakan prasarana dan perkhidmatan pendidikan.

 

 

i.   BANTUAN PENDIDIKAN

 

  • BANTUAN KEWANGAN BAGI MENERUSKAN PENGAJIAN KE PERINGKAT TINGGI
  •  

    Bantuan kewangan ini adalah berbentuk sara hidup bulanan dan diberikan kepada penuntut-penuntut persendirian (tidak menerima dana atau biasiswa daripada kerajaan, swasta dan badan-badan lain) yang terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang berkelayakan untuk memberi peluang kepada mereka meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti dan institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan. Bantuan ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai tenaga manusia yang terlatih dan berkemahiran bagi menyumbang kepada pembangunan negara.

     

  • BANTUAN PERALATAN DAN KEPERLUAN PERSEKOLAHAN
  •  

    Bantuan peralatan dan keperluan persekolahan diberikan kepada para pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan pada setiap tahun iaitu sebelum menjelang penggal pertama persekolahan. Bantuan tersebut adalah seperti peralatan tulis, buku latihan, buku kerja, peralatan projek, pakaian seragam, yuran kenderaan dan yuran peperiksaan.

     

    Sumbangan bantuan ini bertujuan bagi membantu dan memberi semangat kepada para pelajar di kalangan keluarga yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian mereka dengan sempurna, disamping meringankan beban perbelanjaan keluarga mereka dalam menyediakan keperluan sekolah.

     

    Selain itu, bantuan ini juga diberikan kepada anak-anak dari keluarga yang ditimpa musibah bencana alam mengikut keperluan masing-masing.

     

  • PROGRAM INTERVENSI PENDIDIKAN
  •  

    Program ini bertujuan untuk membantu, membimbing dan memberi motivasi kepada anak-anak dari keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka bagi keperluan masa hadapan.

     

    Projek pertama yang dikendalikan di bawah Program Intervensi Pendidikan ialah dengan memberikan kelas tuisyen dan bengkel motivasi pada hujung minggu. Projek ini dikendalikan dengan kerjasama para sukarelawan yang menyumbang khidmat selaku tenaga pengajar bagi kelas tuisyen.

     

 

ii.   PROJEK PENYELIDIKAN DAN PERKEMBANGAN

 

Salah satu tujuan Yayasan dalam bidang pendidikan ialah memberikan bantuan ke atas penyelidikan dan perkembangan yang dijalankan oleh institusi pengajian tinggi dan agensi-agensi yang berkenaan bagi kepentingan kemajuan saintifik, teknologi dan kemasyarakatan.

 

Sultan Omar ´Ali Saifuddien Memorial Lecture misalnya adalah merupakan salah satu projek penyelidikan dan perkembangan yang dianjurkan oleh Yayasan dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam. Sultan Omar ´Ali Saifuddien Memorial Lecture ini menyediakan platform kepada pakar-pakar terkemuka dunia mengongsikan pemikiran dan pendapat mereka untuk dijadikan sumber keilmuan kepada rakyat di negara ini.

 

 

iii.   "SULTAN´S SCHOLAR"

 

"Sultan´s Scholar" adalah merupakan biasiswa khas yang ditawarkan oleh Yayasan bertujuan bagi melahirkan individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berbudi bahasa bagi kepentingan jangka masa panjang Ugama, Raja dan Negara.

 

Biasiswa yang berprestij ini dianugerahkan kepada penuntut-penuntut cemerlang dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran Peringkat Lanjutan (G.C.E. ´A´ Level) atau yang sebanding dengannya serta bergiat aktif dalam kegiatan luar sekolah.

 

Penerima "Sultan´s Scholar" akan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam pelbagai bidang di institusi pengajian tinggi yang terkemuka di seluruh dunia.

 

Penganugerahan "Sultan´s Scholar" dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu´izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman.

 

 

iv.   SEKOLAH YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

 

Penubuhan Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang terdiri daripada Taman Asuhan Kanak-Kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah merupakan penglibatan Yayasan dalam menawarkan perkhidmatan pendidikan bagi memberi sumbangan kepada perkembangan pendidikan dan tenaga manusia di Negara Brunei Darussalam.

 

 

top