Back
Next
title
Banner

 

Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Kompleks Yayasan) adalah merupakan salah satu projek pembangunan infrastruktur yang dikendalikan oleh Yayasan. Tersergam indah di suatu kawasan strategik di antara dua mercu tanda utama Bandar Seri Begawan iaitu Sungai Brunei dan Masjid Omar ´Ali Saifuddien, Kompleks Yayasan menjadi tarikan kepada orang ramai dan para pelancong.

 

Kompleks Yayasan juga merupakan projek pelaburan Yayasan dalam bidang hartanah di mana sebahagian besar hasil pulangan dari pelaburan tersebut digunakan bagi membiayai projek dan aktiviti kebajikan yang dikendalikan oleh Yayasan. Secara tidak langsung, setiap penyewa yang berurusniaga di Kompleks Yayasan terlibat sama dalam membuat pelaburan kebajikan untuk rakyat di Negara Brunei Darussalam.

 

Pembukaan rasmi bangunan Kompleks Yayasan telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu´izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 4 Rabiulakhir 1417 Hijrah bersamaan 19 Ogos 1996 Masihi.

 

Dibina di tebing Sungai Brunei dengan keluasan kira-kira empat hektar, Kompleks Yayasan merupakan salah sebuah bangunan komersil yang terbesar di tengah-tengah Bandar Seri Begawan. Kompleks ini terdiri daripada empat buah bangunan yang terbahagi kepada lapan blok dengan keluasan lantai kira-kira 110,350 meter persegi.

 

Dikenali sebagai ´One Stop Shopping Centre´, Kompleks Yayasan menyediakan pelbagai aktiviti komersil di bawah satu bumbung seperti ruang pejabat, pasar raya, bank, butik, klinik, kafe siber, toko buku, medan selera dan restoran. Di samping itu, kompleks ini juga menyediakan beberapa kemudahan lain seperti surau, ruang pameran, dewan serba guna, tandas awam dan tempat letak kereta yang boleh menampung 1,500 buah kenderaan.