Showcase 1
Showcase 2
Showcase 3

Berita Terkini

Dalam sama-sama memikul tanggungjawab menangani kebajikan golongan orang-orang yang berkelainan upaya dan memerlukan bantuan, Yayasan secara berterusan memberikan sokongan dan sumbangan kepada pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan kepada golongan kelainan upaya.

Bagi tujuan ini, pada majlis hari Isnin, 19 Rabiulawal 1438 Hijrah bersamaan 19 Disember 2016, Yayasan memberi sumbangan tahunan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam; dan Persatuan bagi Pengurusan Autisme dalam Latihan, Pendidikan dan Sumber Negara Brunei Darussalam (SMARTER Brunei).

1. Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam

Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam menerima sumbangan kewangan sebanyak B$50,000.00. Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam adalah sebuah badan bukan Kerajaan yang berfungsi menyediakan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum.

Yayasan telah mula memberikan sumbangan tahunan sebanyak B$50,000.00 setahun kepada Pusat ini sejak tahun 2001 iaitu bertujuan bagi memberi sokongan kepada Pusat ini dalam mengendalikan perkhidmatannya.

Sumbangan Yayasan ini diterima oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Alimin bin Haji Abdul Wahab, Pemegang Amanah Kanan (Senior Trustee) Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

2. SMARTER Brunei

Persatuan Bagi Pengurusan Autism Dalam Latihan, Pendidikan Dan Sumber (SMARTER) Brunei menerima sumbangan kewangan sebanyak B$50,000.00. Persatuan SMARTER Brunei ialah persatuan bagi sekumpulan ibu-bapa yang mempunyai anak yang menghidapi autisma.

Yayasan telah mula memberikan sumbangan tahunan kepada Persatuan SMARTER Brunei dari sejak tahun 2006. Daripada jumlah sumbangan Yayasan tersebut, 50% disumbangan kepada Persatuan SMARTER Brunei untuk mengendalikan pengurusan dan menyediakan keperluan bagi pengendalian kegiatan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik. Manakala 50% lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang mempunyai pendapatan rendah.

Pada tahun 2015, Yayasan memberikan sumbangan kewangan berjumlah B$50,000.00 bagi menaja pembinaan 5 buah bilik darjah di Pusat SMARTER yang baru di Kampong Mata-Mata.

Sumbangan Yayasan di majlis ini diterima oleh Yang Mulia Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman, Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei.

 

Di majlis ini juga, Yayasan memberikan sumbangan seperti berikut:

3. Majlis Perundingan Kampong RPN Kampong Panchor Mengkubau

Di majlis ini juga, Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan kepada Majlis Perundingan Kampong Rancangan Perumahan Negara Kampong Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri bagi membiayai sebahagian perbelanjaan untuk mengungkayahkan Bazaar Hujung Minggu yang diadakan pada setiap bulan. Bazaar ini diadakan bertujuan untuk membantu keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah dalam menjana pendapatan dan galakan kearah keusahawanan bakarih melalui program perniagaan dan keusahawanan.

Sumbangan Yayasan ini diterima oleh Yang Mulia Awang Haji Hairol Azri bin Haji Salamat, Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Kampong Rancangan Perumahan Negara Kampong Panchor Mengkubau.

4. Sumbangan Kepada Penduduk yang terlibat dalam Kejadian Kebakaran

Yayasan dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan yang ditimpa musibah termasuk mangsa kebakaran rumah. Bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa. Sumbangan kewangan ini dihasratkan bagi meringankan beban mereka dalam menyediakan keperluan asasi untuk meneruskan kehidupan seharian.

Pada majlis ini, Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan kepada 40 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Kampong Pandai Besi dan Kampong Lurong Dalam pada 7 Disember 2016 lalu. Dalam majlis ini Yayasan juga menyampaikan sumbangan kewangan kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di beberapa tempat iaitu di Kampong Sungai Asam, Kampong Pulaie, RPN Kampong Meragang dan Kampong Sungai Tanit, Temburong. Keseluruhan sumbangan kewangan yang dberikan kepada mangsa kebakaran pada hari ini berjumlah B$193,800.00.

Dalam masa yang sama juga, Yayasan menyampaikan sumbangan dalam bentuk kupon bagi pembelian buku-buku dan peralatan sekolah kepada seramai 26 orang pelajar dari keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah yang keseluruhannya berjumlah B$3,350.00. Bantuan ini dihasratkan bagi membantu para pelajar tersebut menyediakan persediaan dan keperluan bagi memulakan sesi persekolahan pada awal tahun 2017 nanti.

Ibu Pejabat

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Jalan Kumbang Pasang
Bandar Seri Begawan BA 1511
Negara Brunei Darussalam

Tel: 2234085 / 2234087 / 2234530 / 2234531
Fax: 2234082 / 2234086