Back
Next
title

Bantuan Bagi Keluarga Yang Kurang Berkemampuan serta Daif

pic

 

 

"Penerima-penerima bantuan dan peserta-peserta
kursus melafazkan ikrar"

 

 

 

 

 

Salah satu objektif penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat Negara Brunei Darussalam. Atas tujuan ini, salah satu projek yang dikendalikan oleh Unit Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu Projek Bantuan Untuk Meningkatkan Sosio-Ekonomi Ke Arah Membasmi Kemiskinan (PBSE) bertanggungjawab untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan serta daif.

 

PBSE buat masa ini hanya dilaksanakan di Kampong Bolkiah ´A´ dan Bolkiah ´B´ sebagai kajian kes memandangkan maklumat hasil kaji selidik yang diperolehi pada Jun 2006 dan Mei 2008 menunjukkan kedua-dua kampung berkenaan mempunyai tahap kemiskinan yang paling tinggi berbanding dengan kampung-kampung lain.

 

Pada 16 Zulhijjah 1430H bersamaan 4 Disember 2009, Majlis Penandatanganan Perjanjian Persetujuan Menerima Bantuan dan Melafazkan Ikrar Penerima Bantuan Bagi Bantuan-Bantuan Perusahaan Penambang, Pembuatan Keropok dan Jahitan Serta Penyampaian Sijil Kepada Peserta-Peserta Kursus Jahitan dan Kursus Komputer Lanjutan diadakan di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal, Bandar Seri Begawan.

 

Majlis dimulakan dengan Upacara Menandatangani Perjanjian Persetujuan Menerima Bantuan bagi Projek Penambang dan Projek Bantuan Perseorangan. Seramai 3 orang penerima menerima bantuan bagi Projek Penambang dan bantuan tersebut adalah perahu tambang termasuk enjin perahu. Manakala seramai 1 orang penerima menerima bantuan bagi Projek Bantuan Perseorangan dan bantuan yang disumbangkan berbentuk barang-barang elektronik bagi membantu penerima untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan yang sedang diusahakan.

 

Seterusnya majlis disempurnakan dengan Penyampaian Sijil kepada peserta-peserta Kursus Jahitan dan Kursus Komputer Lanjutan. Seramai 10 orang peserta telahpun menjalankan Kursus Jahitan pada 5 Oktober 2009M sehingga 24 November 2009. Bagi permulaan, peserta-peserta Kursus Jahitan akan diberikan projek dan dibantu oleh Yayasan untuk menjalankan perniagaan mereka sendiri. Manakala seramai 11 orang peserta lagi menjalankan Kursus Komputer Lanjutan pada 5 hingga 29 Oktober 2009 yang lalu. Kursus ini adalah lanjutan daripada Kursus Asas Komputer yang telah dijalankan bulan April hingga Julai 2009 yang lalu.

 

Majlis diteruskan lagi dengan Perlafazan Ikrar Penerima Bantuan bagi Bantuan-Bantuan Perusahaan Penambang, Pembuatan Keropok dan Jahitan serta Peserta-Peserta Kursus Komputer Lanjutan.