Universiti Brunei Darussalam
dan Beberapa Buah Masjid, Surau dan Balai Ibadat
Menerima Sumbangan Kewangan
![]()
“Pengarah Urusan Yayasan (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Pemangku Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (kanan)”
Pada petang Selasa, 30 Safar 1433H bersamaan 24 Januari 2012M, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menyampaikan sumbangan kewangan kepada Universiti Brunei Darussalam dan beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat seperti keterangan:
1. Universiti Brunei Darussalam
Yayasan sentiasa memberikan sokongan kepada institusi pengajian tinggi yang mengendalikan penyelidikan dan perkembangan bagi kepentingan kemajuan saintifik, teknologi dan kemasyarakatan. Bagi tujuan ini, Yayasan memberikan sumbangan tajaan yang berjumlah sebanyak B$5,000.00 kepada Universiti Brunei Darussalam bagi membiayai sebahagian perbelanjaan mengadakan “iCUBE Workshop: Impact of Climate Change and Innovations for a Sustainable Future” yang telahpun diadakan pada 9 hingga 19 Januari 2012 yang lalu.
Hadir menerima sumbangan tersebut ialah Yang Mulia Profesor Madya Dr Azman bin Ahmad, Pemangku Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam.
2. Sebahagian Masjid, Surau dan Balai Ibadat di Seluruh Negara
Sumbangan ini adalah merupakan salah satu usaha Yayasan bagi mentakmirkan masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya dalam mempertingkatkan syiar Islam di negara ini.
![]()
“Pengarah Urusan Yayasan (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Imam salah sebuah masjid di Daerah Brunei dan Muara (kanan)”
Sebanyak 47 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul bagi tahun 1433H/2012M. Jumlah sumbangan kewangan yang diberikan keseluruhannya ialah sebanyak B$28,600.00. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 buah masjid di Daerah Brunei dan Muara menerima sumbangan berjumlah B$13,400.00; 17 buah masjid di Daerah Tutong menerima sumbangan berjumlah B$9,000.00; 4 buah masjid di Daerah Belait menerima sumbangan berjumlah B$2,300.00; dan 7 buah masjid di Daerah Temburong menerima sumbangan B$3,900.00.
Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.
Sumbangan-sumbangan Yayasan ini disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
![]()