Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Hulurkan Sumbangan Lebih B$60,000.00
![]()
“Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan (kanan) menyerahkan sumbangan untuk salah seorang penerima Sumbangan Bantuan Peralatan Persekolahan Sesi 2012”
Selaras dengan wawasan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada masyarakat, pada petang Jumaat, 5 Safar 1433H bersamaan 30 Disember 2011M, Yayasan menyampaikan beberapa sumbangan seperti berikut:
1. Sumbangan Faedah Takaful Kemalangan Diri Berkelompok
Setiap murid yang berdaftar di bawah Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah diberikan Perlindungan Takaful Kemalangan Diri Berkelompok yang dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan dengan caruman B$10.00 setiap seorang. Sumbangan Faedah Takaful Kemalangan Diri Berkelompok berjumlah B$10,500.00 disumbangkan pada majlis petang ini kepada Allahyarham Awang Mohammad Adam Muzaffar Shah bin Haji Abdullah Sani, salah seorang murid Taman Asuhan Kanak-Kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 1 Biru (Kindergarten 1 Blue) yang meninggal dunia pada 18 Julai 2011 lalu.
Menerima sumbangan tersebut bagi pihak Allahyarham ialah Yang Mulia Awang Haji Abdullah Sani bin Haji Duraman, ayah kepada Allahyarham.
2. Sumbangan Kewangan Kepada Keluarga Mangsa Yang Terkorban Dalam Kemalangan Bas Di Sabah, Malaysia
Seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam telah dikejutkan dengan berita sedih tragedi kemalangan penumpang-penumpang bas pelancong yang membawa warga Negara Brunei Darussalam di Sabah, Malaysia pada hari Selasa, 20 Disember yang lalu. Seramai tujuh orang penumpang bas tersebut disahkan meninggal dunia berikutan kejadian tersebut.
Sejurus selepas kejadian tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menitahkan kementerian-kementerian berkenaan supaya mengambil peranan masing-masing dalam membantu mangsa-mangsa yang terlibat di negara jiran itu.
Yayasan juga tidak ketinggalan untuk menghulurkan bantuan berupa sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan pada majlis ini Yayasan menghulurkan sumbangan kewangan dengan keseluruhan berjumlah B$6,000.00 kepada keluarga tersebut:
- Allahyarhamah Pengiran Hajah Zahrah binti Pengiran Haji Zainal
- Allahyarham Awang Haji Abdul Manan bin Haji Ishak
- Allahyarhamah Dayang Hajah Noorfaridah binti Hussin
- Allahyarham Awang Haji Tarsad bin Haji Damit
- Allahyarhamah Hajah Dayang @ Hajah Norhayati binti Haji Abdul Hadi
- Allahyarham Awang Haji Abd Ghani bin Muhammad (suami Dayang Hajah Hasnah binti Haji Yusof)
- Allahyarhamah Dayang Hajah Hasnah binti Haji Yusof (isteri Awang Haji Abd Ghani bin Muhammad)
Di samping itu, bagi meringankan beban keluarga Allahyarham Awang Haji Abdul Manan bin Haji Ishak yang mempunyai 5 orang anak yang masih bersekolah, Yayasan turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah B$2,000.00 iaitu B$400.00 setiap seorang.
Hadir menerima sumbangan ialah wakil-wakil daripada keluarga mangsa tersebut.
3. Sumbangan Kewangan Kepada Keluarga Yang Terlibat Dalam Musibah Kebakaran Rumah
Salah satu tujuan Yayasan dalam bidang kebajikan adalah memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran rumah. Bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.
Pada majlis ini juga, Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah B$6,500.00 kepada Yang Mulia Awang Haji Julaihi bin Mohamad serta 4 orang ahli keluarga yang lain yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Kampong Sungai Teraban, Daerah Belait.
Di samping itu, Yayasan juga menyampaikan sumbangan bantuan kewangan berjumlah B$800.00 kepada 2 orang cucu beliau yang masih bersekolah iaitu sebanyak B$400.00 setiap seorang. Sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban keluarga tersebut untuk perbelanjaan menyediakan keperluan persekolahan yang bakal menjelang.
4. Sumbangan Bantuan Peralatan Persekolahan Sesi 2012
Selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan bagi memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan, serta sebagai sumbangan Yayasan terhadap pembangunan bangsa, hari ini Yayasan menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan kepada para pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan.
Sumbangan dalam bentuk kupon bagi pembelian buku-buku dan peralatan sekolah dan buku-buku tulis (exercise books) adalah merupakan sokongan dan penglibatan Yayasan dalam memeduli hal-ehwal pendidikan para pelajar yang kurang berkemampuan. Sumbangan ini adalah dihasratkan bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka khususnya pada setiap menjelang penggal awal persekolahan.
Majlis pada hari ini adalah bagi menyampaikan sumbangan bantuan pembelian peralatan persekolahan dalam bentuk kupon yang bernilai B$60.00 berserta buku-buku tulis (cetakan Yayasan) sebanyak 20 buah bagi setiap pelajar. Seramai 537 pelajar yang terdiri daripada 319 murid sekolah rendah dan 218 penuntut sekolah menengah menerima sumbangan tersebut pada hari ini.
Jumlah sumbangan bantuan persekolahan pada tahun ini keseluruhannya berjumlah B$41,599.00. Hadir bagi menerima sumbangan bantuan ini ialah ibu-bapa para pelajar berkenaan.
Adalah diharapkan sumbangan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid-murid berkenaan dan memberi dorongan kepada mereka untuk meneruskan serta mempertingkatkan pencapaian pelajaran masing-masing. Projek seumpama ini juga diharapkan supaya akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bagi sama-sama memeduli kebajikan mereka yang kurang bernasib baik dan sangat-sangat memerlukan.
Kesemua sumbangan Yayasan pada petang ini disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir di majlis ini ialah Yang Mulia Awang Haji Brahim bin Haji Ismail, Pengarah Urusan Yayasan; Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
![]()