Awang Haji Mohamad Bin Haji Mahmud Menerima Anak Kunci Rumah Bantuan
![]()
“Pengarah Urusan Yayasan (tengah) menyerahkan anak kunci rumah kepada Awang Haji Mohamad bin Haji Mahmud (kiri)”
Pembinaan rumah bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan yang selesa, bersih dan selamat bagi mewujudkan kehidupan berkeluarga yang aman dan harmoni. Disamping itu ia adalah merupakan salah satu usaha bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat di Negara Brunei Darussalam.
Pada hari ini, 21 Zulhijjah 1432H bersamaan 17 November 2011, diadakan majlis penyerahan sebuah rumah bantuan kepada Awang Haji Mohamad bin Haji Mahmud. Rumah bantuan ini adalah projek bersepadu Yayasan bersama rakan strategik Yayasan iaitu Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Kos bagi pembinaan rumah bantuan menelan belanja sebanyak B$42,500.00 dan mempunyai 3 buah bilik tidur dilengkapi dengan bilik tamu, dapur dan tandas. Kos tersebut ditanggung bersama oleh Yayasan, MUIB dan JAPEM.
Hadir dimajlis ini bagi menyempurnakan penyerahan anak kunci rumah bantuan ialah Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Ali Hashim bin Haji Daud, Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Penghulu, Ketua-ketua Kampong dan Pegawai-pegawai Kerajaan yang terlibat.
![]()