Majlis Sambutan Hari Raya ‘Iduladha Dan ‘Ibadah Qurban Tahun 1432H/2011
![]()
“Tetamu Kehormat memberikan daging korban
kepada penerima”
Pada petang Rabu, 13 Zulhijjah 1432 Hijrah bersamaan 09 November 2011 Masihi telah diadakan Majlis Sambutan Hari Raya ‘Iduladha dan ‘Ibadah Qurban Tahun 1432H/2011M. Majlis ini dianjurkan oleh Badan Kebajikan Pekerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKPYSHHB) bertempat di kawasan perkarangan Ibu Pejabat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis ini adalah merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dikendalikan oleh BKPYSHHB melalui Bahagian Keagamaan. Seramai 63 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan YSHHB dan ahli-ahli keluarga telah menyertai ibadah qurban / aqiqah pada tahun ini dimana sebanyak tujuh (7) ekor kerbau, satu (1) ekor sapi dan lapan (8) ekor kambing telah disembelih bersempena ibadah qurban ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan takbir hari raya dipimpin oleh Yang Mulia Imam Airwan bin Haji Malik, Imam Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis diteruskan dengan penyampaian daging-daging qurban yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Timbalan Pengerusi I Lembaga Pengarah YSHHB kepada golongan fakir miskin yang disampaikan kepada wakil-wakil iaitu Yang Mulia Awang Shahminan bin Haji Matzin, Ketua Kampong Bolkiah ‘A’; Yang Mulia Awang Shamsudin bin Haji Maidin, Ketua Kampong Bolkiah ‘B’; Yang Mulia Awang Hairol Mazlan bin Abdul Razak, Pemangku Imam Masjid Kampong Benutan; Yang Mulia Awang Ramlee bin Haji Hidup, Wakil Imam Masjid Kampong Bukit; Yang Mulia Awang Muhd Izzul Islam bin Abdullah, Imam Pusat Kegiatan Ugama Kampong Bebuloh.
Sempena Majlis Sambutan Hari Raya ‘Iduladha juga diadakan majlis penyampaian sumbangan kewangan YSHHB kepada 2 orang penerima bagi membiayai pengajian mereka iaitu seperti berikut:
- Yang Mulia Dayang Nurezzah binti Sallehuddin @ Reamie Chong Yen Yen menerima bantuan kewangan sebanyak B$7,796.00. Sumbangan ini adalah bagi membiayai yuran pengajian dan elaun sara hidup serta elaun kenderaan untuk setahun pengajian Ijazah Bachelor of Science di Universiti Brunei Darussalam.
- Yang Mulia Dayang Fathinussalamah binti Haji Salim juga menerima bantuan kewangan sebanyak B$9,600.00. Sumbangan ini adalah bagi membiayai yuran setahun pengajian bagi sesi 2011/2012 dalam jurusan Nursing (BA) di Queensland University of Technology, Brisbane, Australia.
Sumbangan tersebut disempurnakan juga oleh Tetamu Kehormat Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Timbalan Pengerusi I Lembaga Pengarah YSHHB. Jumlah keseluruhan sumbangan adalah B$17,396.00.
Majlis hari ini diteruskan lagi dengan penyampaian sumbangan Tabung Derma Khairat Pekerja (TADEKHA) YSHHB kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) iaitu sebanyak B$500.00. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Rithaudin bin Haji Sabtu, Yang di-Pertua Badan Kebajikan Pekerja YSHHB kepada Yang Mulia Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud, Pengarah Urusan YSHHB selaku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.
Majlis pada petang tersebut ditutup dengan bacaan doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Imam Airwan bin Haji Malik, Imam Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
BPYSHHB ditubuhkan pada tahun 2000, bertanggungjawab dalam menjaga dan mengambil berat kebajikan dan hal-ehwal ahli-ahlinya yang terdiri daripada pegawai, guru-guru dan kakitangan YSHHB. Tujuan penubuhannya adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara ahli-ahli di samping menanamkan sikap suka bantu-membantu dan bekerjasama di antara semua ahlinya. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan penglibatan ahli-ahlinya dalam aktiviti-aktiviti keagamaan, kebajikan dan sosial, sukan dan ekonomi.
Hadir di majlis penyampaian ini ialah Pengarah Urusan YSHHB, Penolong-Penolong Pengarah Urusan YSHHB, para jemputan khas, pegawai dan kakitangan YSHHB serta guru-guru dan kakitangan Sekolah YSHHB.
![]()