Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Yang Ke-19
![]()
“Aturcara majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Surah Yaasin”
Pada hari Isnin, 12 Zulkaedah 1432 Hijrah bersamaan 10hb Oktober 2011 Masihi, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengadakan majlis doa kesyukuran sempena sembilan belas (19) tahun penubuhan Yayasan.
Majlis ini adalah merupakan salah satu aktiviti tahunan Yayasan. Aturcara majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Ini diikuti dengan bacaan Surah Yaasin beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Saiful Hakimin bin Pengiran Liudin, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan doa kesyukuran sempena sembilan belas (19) tahun penubuhan Yayasan dan seterusnya diselajurkan dengan sembahyang Fardhu Isya’ berjemaah.
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak menaiki Takhta. Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Ahli Keluarga Diraja Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Hadir di majlis ini ialah Ahli-Ahli Jemaah Tadbir dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Sepanjang sembilan belas tahun penubuhannya, Yayasan telah berjaya melaksanakan beberapa projek dan aktiviti selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya iaitu meliputi bidang ugama, kebajikan, pendidikan, pembangunan dan kewangan. Semua ini dijalankan adalah dengan tujuan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di negara ini.