Back
Next
title

 

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1432H / 2011M

Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

 

pic

 

 

“Pada hari Sabtu, 11 Syawal 1432H bersamaan 10 September 2011M bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis ini beserta ahli-ahli Kerabat Diraja Baginda.”

 

 

 

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah sekali lagi menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari Sabtu, 11 Syawal 1432H bersamaan 10 September 2011M bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis ini beserta ahli-ahli Kerabat Diraja Baginda.

 

Majlis seumpama ini adalah merupakan kali ke-lapan dianjurkan oleh Yayasan dimana ianya mula diadakan pada tahun 2003. Majlis Sambutan Hari Raya Anjuran Yayasan ini adalah merupakan nilai tambah kepada peranan istana yang unik iaitu dengan membuka pintunya pada setiap Hari Raya Aidilfitri bagi orang ramai menjunjung ziarah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan dan ahli-ahli kerabat Diraja Baginda. Manakala bezanya ialah sambutan anjuran Yayasan ini lebih mengetengahkan unsur-unsur kemasyarakatan dimana para peserta di majlis ini adalah terdiri daripada kelompok-kelompok yang telah dikenalpasti yang berkepentingan dalam menjana kesejahteraan bersama.

 

Sepanjang lapan tahun majlis ini diadakan, Yayasan telah mengetengahkan para karyawan atau professional muda sebagai peserta dalam tahun 2003, para ‘achievers’ dalam bidang dan lapangan tertentu bagi majlis dalam tahun 2004, ahli-ahli badan bukan Kerajaan (NGO’s) bagi tahun 2005. Manakala dalam tahun 2006 pula para peserta terdiri dari pelajar yang berjaya dalam bidang akademik dan ko-kurikulum. Bagi tahun 2007, kelompok yang diketengahkan ialah para ilmuan iaitu para pegawai-pegawai utama dan tenaga-tenaga akademik institusi pengajian tinggi dan pusat-pusat latihan kemahiran. Peserta yang menghadiri majlis bagi tahun 2008 ialah merupakan rakan-rakan strategik dan sukarelawan Yayasan. Pada tahun 2010 pula, Yayasan telah mengetengahkan agensi-agensi penguatkuasa awam sebagai peserta.

 

Untuk Majlis tahun ini, dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yayasan mengetengahkan para pengusaha dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dan syarikat-syarikat kerjasama yang berdaftar dengan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama; LiveWire dan i-Centre sebagai peserta iaitu seramai lebih kurang 1,200 orang.

 

Pemilihan para pengusaha ini adalah bagi menghargai peranan dan usaha mereka dalam menyumbang kearah meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi Negara iaitu bukan sahaja sumbangan langsung mereka kepada aktiviti ekonomi Negara tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada rakyat dan penduduk di Negara ini. Dalam Islam, aktiviti muamalat atau perniagaan diiktiraf sebagai satu bidang penting dalam kehidupan manusia. Melalui aktiviti perniagaan, manusia akan menjadi produktif dimana segala tenaga, ilmu dan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan untuk mengeluarkan hasil bagi faedah manusia yang lain.

 

Disamping itu, tujuan memilih para pengusaha ini juga adalah untuk memberikan peluang berharga kepada mereka untuk mengetahui akan visi dan harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai dengan peranan mereka dalam masyarakat dan Negara.

 

Aturcara Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

 

Acara kemuncak Majlis ialah titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Acara Majlis diteruskan dengan acara santap / jamuan. Semasa santap / jamuan, diadakan persembahan nyanian dakwah dan nasyid daripada penuntut-penuntut Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Arab Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Pegawai-Pegawai Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan dan Kumpulan nasyid Nurfirdaus.

 

Selesai santap / jamuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan seterusnya dijunjung berangkat menyaksikan pameran yang dikendalikan oleh beberapa Jabatan dan agensi yang berperanan dalam memberikan khidmat sokongan dalam perkembangan SME di Brunei (SME support service agencies) yang terdiri daripada jabatan-jabatan di Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama yang berkenaan; institusi-institusi kewangan, LiveWire, i-Centre dan juga Brunei Wafirah Holdongs Sdn Bhd.

 

Selain daripada titah, acara kemuncak seterusnya ialah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menerima junjung ziarah dan beramah mesra dengan para peserta yang hadir. Disamping memberi peluang kepada mereka untuk beramah-mesra dengan raja yang sangat dikasehi, Majlis ini juga setentunya akan memberi inspirasi dan perangsang kepada para peserta dalam melaksanakan peranan mereka masing-masing.

 

Turut hadir dalam Majlis ini ialah Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta Pegawai-Pegawai Kerajaan dan swasta yang selama ini terlibat dalam menjayakan projek dan aktiviti Yayasan.