Back
Next
title

 

Majlis Penganugerahan Biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

 

pic

 

 

“Pada 16 Syawal 1432H bersamaan 15 September 2011M bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini.”

 

 

 

Pada 16 Syawal 1432H bersamaan 15 September 2011M bertempat di Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi menyempurnakan anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini.

 

Selaras dengan salah satu prinsip dan tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang pendidikan iaitu bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahunan yang seterusnya akan berperanan terhadap kemajuan dan pembangunan Negara, satu skim biasiswa khas telah disediakan yang dinamakan “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Biasiswa “Sultan’s Scholar” adalah merupakan biasiswa yang berprestij dan ia dianugerahkan kepada penuntut-penuntut yang telah dikenalpasti oleh Yayasan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai penuntut yang cemerlang dalam bidang akademik dan kegiatan luar sekolah bagi melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang ke peringkat ijazah atau yang sebanding dengannya di institusi-institusi pengajian tinggi yang berprestij di luar negara yang dibenarkan oleh Yayasan dan diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

 

Tujuan penyediaan biasiswa “Sultan’s Scholar” adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berdisiplin dan berbudi bahasa bagi kepentingan jangka masa panjang Ugama, Raja dan Negara.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penganugerahan biasiswa “Sultan’s Scholar” bermula pada tahun 2006 iaitu bagi sesi pengajian tahun 2006/2007.

 

Pada tahun ini (tahun 2011), seramai tiga (3) orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi sesi pengajian 2011/2012. Mereka ialah Dayang Ainul Azzura binti Haji Mohd Jaya, Awang Wafi bin Haji Abd Manan dan Dayang Siti Musfirah binti Misli.

 

Dayang Ainul Azzura binti Haji Mohd Jaya adalah lepasan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan penerima Biasiswa Skim Khas Dana Sumber Manusia. Dayang Ainul Azzura akan meneruskan pengajian dalam jurusan ‘Civil Engineering (MEng)’ di Imperial College London, United Kingdom.

 

Awang Wafi bin Haji Abd Manan, lepasan penuntut Jerudong International School (JIS), akan meneruskan pengajian dalam jurusan ‘Politic And Philosophy (Bsc)’ di London School of Economics, United Kingdom.

 

Dayang Siti Musfirah binti Misli, lepasan penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah pula akan meneruskan pengajian dalam jurusan Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir.

 

Aturcara Majlis Penganugerahan biasiswa “Sultan’s Scholar” dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan menyempurnakan anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada ketiga-tiga penerima. Setelah penyempurnaan anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar”, bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

 

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bergambar ramai dan beramah mesra dengan penerima-penerima anugerah biasiswa “Sultan’s Scholar” dan para ibu-bapa mereka serta para jemputan.

 

Turut hadir di Majlis ini ialah Pengerusi dan ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Setiausaha-Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, ahli-ahli Jawatankuasa Pandu (Steering Committee) “Sultan’s Scholar” Yayasan, pegawai-pegawai kanan Jabatan Kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai kanan Yayasan, Pengetua-Pengetua dan sebahagian penuntut dari institusi-institusi tingkatan enam diseluruh negara.

 

Sejak penganugerahan biasiswa “Sultan’s Scholar” Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mula diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2006 sehingga tahun 2010, seramai 19 orang pelajar telah menerima anugerah ini. Sebahagian daripada mereka telah menamatkan pengajian dan bertugas di beberapa Jabatan dan agensi di negara ini, manakal sebahaigan yang lain masih lagi belajar.

 

Pada tahun 2006 iaitu bagi sesi pengajian tahun 2006/2007, seramai tiga (3) orang penuntut telah berjaya menerima anugerah biasiswa tersebut. Pada tahun 2007 iaitu bagi sesi pengajian 2007/2008, seramai tiga (3) orang lagi menerima anugerah ini. Pada tahun 2008 iaitu bagi sesi pengajian tahun 2008/2009, juga seramai tiga (3) orang penuntut telah menerima anugerah tersebut. Manakala pada tahun 2009 iaitu bagi sesi pengajian tahun 2009/2010, seramai lima (5) orang penuntut telah menerima anugerah tersebut. Pada tahun 2010 pula, seramai lima (5) orang lagi menerima anugerah ini iaitu bagi sesi pengajian tahun 2010/2011. .