![]()
"Awang Jumat bin Abai (kiri) menerima anak kunci rumah"
![]()
Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli keluarga baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Pembinaan rumah bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan yang selesa, bersih dan selamat bagi mewujudkan kehidupan berkeluarga yang aman dan harmoni. Disamping itu ia adalah merupakan salah satu usaha bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat di Negara Brunei Darussalam.
Pada hari ini, Rabu, 05 Jamadilakhir 1431H bersamaan 19 Mei 2010 Masehi, diadakan majlis penyerahan sebuah rumah bantuan iaitu di bawah projek bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Kampong Senukoh, Temburong bagi Awang Jumat bin Abai berusia 49 tahun. Awang Jumat bin Abai yang mempunyai tanggungan seramai 8 orang tidak memiliki sebarang pekerjaan disebabkan mengalami kecacatan anggota menyebabkan dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Pelaksanaan projek secara bersama dengan rakan-rakan strategik adalah merupakan inisiatf Yayasan dalam meningkatkan semangat kolektif diantara agensi-agensi Kerajaan dan NGO’s bagi sama-sama memaju dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di negara ini.
Kos bagi mendirikan pembinaan rumah bantuan Awang Jumat bin Abai ini menelan belanja sebanyak B$40,000.00 (Ringgit Brunei : Empat Puluh Ribu Sahaja) dan berkonsepkan rumah bungalow mempunyai tiga (3) buah bilik tidur, bilik tamu dan dapur. JAPEM membiayai sebanyak B$30,000.00 (Ringgit Brunei: Tiga Puluh Ribu Sahaja) manakala Yayasan menambah sebanyak B$10,000.00 keatas kos pembinaan rumat tersebut.
Di majlis penyerahan rumah bantuan ini Yang Behormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan menyerahkan replika anak kunci kepada Awang Jumat bin Abai. Seterusnya Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Perhubungan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyerahkan sijil siap rumah kepada Awang Jumat bin Abai. Turut hadir ialah Penghulu Mukim Labu, Ketua Kampong Senukoh, Pegawai-pegawai kanan Kerajaan yang terlibat dan Pegawai-pegawai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah .