![]()
"Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang ahli sukarelawan (kanan)"
![]()
Pada malam Sabtu, 2 Jamadilawal 1431H bersamaan 17 April 2010M, Unit Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengadakan Majlis Malam Penghargaan Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Cesar Grand Hall, Orchid Garden Hotel. Selain daripada bertujuan meraikan penubuhan Unit Sukarelawan Yayasan yang ke-5 tahun, majlis ini juga bertujuan bagi menghargai khidmat bakti yang telah disumbangkan oleh ahli-ahli sukarelawan Yayasan dalam menjayakan projek dan aktiviti khususnya dalam perkhidmatan kemasyarakatan.
Majlis pada malam ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Yang Mulia Ustaz Haji Shamsul Muawan bin Haji Shodiq, Guru Ugama Sekolah Menengah Yayasan. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan dari Yang Mulia Dr Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan. Ini diikuti dengan ucapan dari Tetamu Kehormat iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan. Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan ucapan penghargaan oleh Yang Mulia Awang Mohd Hussairi bin Hamidon, wakil ahli sukarelawan Yayasan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan oleh Tetamu Kehormat kepada 267 orang ahli sukarelawan Yayasan yang telah menyumbang khidmat dan tenaga mereka dalam melaksanakan projek dan aktiviti kebajikan yang dikendalikan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam memeduli kesejahteraan masyarakat yang memerlukan bantuan di Negara Brunei Darussalam sejak penubuhan Unit Sukarelawan pada tahun 2006.
Turut hadir adalah sebahagian ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan yang juga selaku ahli-ahli Jawatankuasa Sukarelawan Yayasan, Penolong-Penolong Pengarah Yayasan dan pegawai-pegawai Yayasan.