![]()
"Penyampaian Sijil Penghargaan kepada pihak media yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat"
![]()
Sejak penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) pada 7 Rabiulakhir 1413H bersamaan 5 Oktober 1992M sehinggalah sekarang, pihak media telah memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan maklumat mengenai perkembangan dan aktiviti Yayasan samada melalui media cetak, media eletronik dan media alternatif iaitu internet. Di samping itu, Yayasan sendiri mengambil inisiatif untuk menyebarkan maklumat mengenai peranan dan projek Yayasan dengan menghasilkan beberapa penerbitan seperti brochure, majalah dan juga laman web rasmi Yayasan.
Menyedari akan pentingnya peranan pihak media dalam menyokong usaha Yayasan selama ini dan bagi melahirkan penghargaan diatas sokongan mereka, pada hari Sabtu, 17 Zulhijjah 1430H bersamaan 5 Disember 2009M, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengadakan Majlis Penghargaan Media dan diteruskan dengan Pelancaran Laman Web Rasmi Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Penyampaian Sijil Penghargaan kepada pihak media disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Seri Kerna Dato Seri Setia Awang Haji Abu Bakar bin Haji Apong, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, selaku tetamu kehormat Majlis. Antara pihak media yang hadir ialah Radio dan Televisyen Brunei (RTB), Jabatan Penerangan, Borneo Bulletin, Media Permata, The Brunei Times, United Daily News, See Hua Daily News, Sin Chew Jit Poh dan beberapa bloggers yang aktif dan memberikan sokongan kepada Yayasan selama ini.
Tetamu Kehormat seterusnya menyempurnakan Pelancaran Laman Web Rasmi Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah iaitu www.yshhb.org.bn. Inisiatif pembangunan laman web rasmi adalah bagi menyahut gagasan kerajaan melalui Pelan Strategik E-Government 2009-2014, iaitu antaranya menggariskan keperluan untuk memberikan informasi yang tepat, boleh dipercayai dan menyediakan informasi yang terkini yang mudah diperolehi secara online. Adalah diharapkan melalui laman web ini masyarakat dapat mengenali Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan lebih dekat melalui paparan maklumat yang disediakan dan memperolehi manfaat daripadanya. Dalam masa yang sama Yayasan bersedia untuk menerima pandangan membina bagi meningkatkan perkhidmatannya.
Aturcara majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra di antara pihak Yayasan dan wakil-wakil media yang diundang sambil menikmati jamuan. Jamuan disajikan oleh lima buah restoran yang membuat perniagaan di Kompleks Yayasan. Adalah diharapkan hubungan silaturrahim Yayasan dengan pihak media akan dapat dipertingkatkan dan dikukuhkan lagi melalui majlis-majlis seperti ini bagi manfaat dan kepentingan kedua-dua belah pihak.