Back
Next
title

 

 

Maklumat Anugerah Kesusasteraan Islam
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Ke-2

 

 

 

 

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memaklumkan bagi mengadakan pemberian Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2 pada tahun 2012.

 

Sehubungan dengan itu, Yayasan sukacita mengalu-alukan orang ramai khususnya para penulis yang terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan beragama Islam untuk menghasilkan karya berunsur Islam dan menghadapkan hasil karya penulisan mereka untuk dinilai bagi menerima Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2.

 

Kelayakan bagi karya yang dinilai dalam Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2 ini adalah dalam bentuk buku atau antologi yang ditulis dalam bahasa Melayu sama ada menggunakan tulisan Rumi atau Jawi. Di samping itu, karya mestilah asli, bukan saduran, adaptasi, terjemahan, padanan atau seumpamanya dan hendaklah diterbitkan dalam tahun 2007 hingga 31 Disember 2011.

 

Adalah menjadi hasrat Yayasan melalui pemberian Anugerah ini akan dapat menyuntik inisiatif dan galakan kepada penulis-penulis untuk terus berkarya dan mendorong para penulis baru untuk memupuk minat dalam sastera Islam yang bukan sahaja bernilai dari segi keindahan wahananya malah dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan kesusasteraan Islam di Negara Brunei Darussalam khasnya dan di rantau ini amnya.

 

Sebuah karya perseorangan yang terbaik sahaja dipilih untuk menerima Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Karya tersebut hendaklah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam; Pusat Dakwah Islamiah, Brunei Darussalam; institusi kerajaan lain; penerbit swasta dan orang perseorangan yang diterbitkan dalam dan luar negeri. Penerima akan menerima Anugerah B$15,000.00 berserta sijil plak dan cenderamata.

 

Keterangan lanjut mengenai Anugerah Kesusasteraan Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Ke-2 adalah seperti berikut:

 

 

PENDAHULUAN

 

Pemberian Anugerah Kesusasteraaan Islam kepada penulis-penulis tempatan sebagai sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk melaksanakan salah satu tujuan penubuhannya iaitu “Menanam dan memupuk semangat kecemerlangan dalam bidang sosio-budaya dan sosio-ekonomi di kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan mengadakan peraduan dan hadiah dalam bidang sastera dan kebudayaan".

 

MAKSUD SASTERA ISLAM

 

Karya sastera Islam mempunyai sifat yang tersendiri atau dengan kata lain mempunyai unsur-unsur keindahan isi dan keindahan wahana yang bertujuan untuk membentuk insan keseluruhannya supaya menjadi insan bertakwa, beriman demi mewujudkan umat yang bahagia di dunia dan akhirat.

 

Keindahan isi dalam karya Islam merupakan pancaran nilai dalaman seperti yang dianjurkan dalam Al-Quran iaitu ketakwaan, keimanan, kemurnian, kedalaman, keharmonian, keseimbangan, peraturan dan kesempurnaan.

 

Manakala keindahan wahana merupakan keindahan dari aspek bahasa, balaghah atau retorika dan kesatuan dalam genre kesusasteraan.

 

OBJEKTIF ANUGERAH

 

  1. Memberi penghormatan dan galakan kepada penulis Islam yang menghasilkan karya bermutu tinggi dengan berteraskan Islam.
  2. Mendaulatkan dan menyebarkan dakwah Islam di kalangan manusia di rantau ini melalui karya sastera.
  3. Meningkatkan penghasilan karya sastera yang berteraskan Islam.
  4. Memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penulis Islam atas sumbangan berterusan mereka memperkaya khazanah kesusasteraan Islam Negara.
  5. Mengiktiraf karya-karya sastera Islam pelbagai genre yang bermutu yang ditulis oleh penulis Islam dalam bahasa Melayu.
  6. Menyebarluaskan penggunaan dan pemakaian Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara.
  7. Mengangkat status penulis Islam berasaskan karya mereka yang diiktiraf.
  8. Menyebarkan konsep Negara Melayu Islam Beraja dengan lebih berkesan dan meluas melalui karya sastera Islam.
  9. Mengumpulkan hasil karya sastera Islam yang diiktiraf melalui penerbitan.
  10. Mengangkat kedudukan Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.

 

SYARAT DAN PERATURAN

 

  1. Karya-karya yang dinilai haruslah memperlihatkan kewibawaan dan ketinggian mutunya sebagai karya sastera Islam yang mencakupi aspek-aspek isi dan teknik/wahana yang dapat memberikan sumbangan seni keindahan untuk meningkatkan martabat ummah.
  2. Karya-karya yang dinilai haruslah mempunyai nilai-nilai Islam yang sejati, dapat dipertahankan dalam semua ruang tempat dan waktu.
  3. Karya-Karya yang dinilai haruslah membawakan persoalan tentang kemuliaan dan kesucian luaran dan dalaman manusia dan hubungan manusia dengan alam dan hubungan manusia dengan penciptanya.
  4. Karya-karya yang dinilai adalah karya perseorangan berbentuk buku atau antologi yang ditulis dalam Bahasa Melayu sama ada menggunakan tulisan Rumi atau Jawi.
  5. Sebuah karya yang terbaik sahaja yang akan dipilih untuk menerima Anugerah.
  6. Jika pada tahun penganugerahan tidak ada calon yang layak untuk diberi Anugerah, maka akan dipertimbangkan untuk pemberian Hadiah Penghargaan.
  7. Penerima anugerah akan diikat janji atau dimestikan supaya menghasilkan sebuah karya terbaharu untuk diterbitkan oleh pihak penganjur bagi faedah bersama pihak penganjur dan penerima anugerah untuk jangka panjang.

 

KELAYAKAN

 

  1. Penulis mestilah rakyat Negara Brunei Darussalam dan beragama Islam.
  2. Karya yang dinilai adalah dalam bentuk buku atau antologi yang ditulis dalam bahasa Melayu sama ada menggunakan tulisan Rumi atau Jawi.
  3. Karya yang dinilai hendaklah diterbitkan dalam tahun 2007 hingga 31 Disember 2011.
  4. Karya yang dinilai hendaklah asli, bukan saduran, adaptasi, terjemahan, padanan atau seumpamanya.
  5. Karya yang telah menerima anugerah sama ada dalam atau luar negeri tidak akan dinilai untuk anugerah ini.
  6. Karya mestilah dinilai dan disokong oleh Panel Penilai.

 

ANUGERAH

 

Anugerah B$15,000.00 diberikan kepada sebuah karya perseorangan yang terbaik sahaja, sama ada diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam; Pusat Dakwah Islamiah, Brunei Darussalam; Universiti Brunei Darussalam; institusi kerajaan lain; Penerbit swasta dan orang perseorangan.

 

PANEL PENILAI

 

  1. Sebuah Panel Penilai adalah terdiri daripada sasterawan, budayawan, sarjana dan tokoh yang berkelayakan dan mempunyai pengetahuan dalam bidang kesusasteraan Islam.
  2. Panel Penilai berhak membuat sebarang keputusan mengikut syarat kelayakan, peraturan dan kriteria penilaian yang telah ditetapkan.
  3. Keputusan Panel Penilai adalah muktamad.

 

top